Wednesday, August 10, 2011

Sepuluh Adab Berpuasa

SEPULUH ADAB-ADAB BERPUASA DAN SOLAT TARAWIH
disaring dari kitab ‘Nasihat Agama dan Wasiat Iman’
karangan : al-Habib Abdullah bin Alwi al-Haddad (1132H)


Setiap orang yang mengerjakan puasa perlu mematuhi beberapa peraturan dan adab yang boleh menyempurnakan ibadah tersebut, antara yang terpenting ;

i. menjaga lidahnya dari berdusta, mengumpat dan mencampuri urusan orang lain yang tiada kena mengena dengannya,

ii. memelihara mata dan telinga dari melihat dan mendengar perkara yang dilarang oleh Syara’ dan yang sia-sia,

iii. mengawal perutnya dari merasai makanan dan minuman yang haram atau yang mengandungi unsur syubhat terutama ketika berbuka dan berusaha sedaya mungkin untuk menghasilakn pemakanan yang halal lagi bersih,

Ulama silam pernah berpesan : “Apabila kamu berpuasa maka perhatikanlah apa yang akan dijadikan makanan berbukamu dan di manakah kamu akan berbuka ?” Ia adalah panduan yang terbaik bagi mengawasi diri dari terjebak dengan unsur-unsur makanan yang tidak halal.

iv. berusaha menjaga kesemua pancaindera dan anggota tubuh badan dari mendekati atau melakukan maksiat dan perkara yang sia-sia. Dengan demikian ibadah puasanya akan suci dan sempurna. Terdapat ramai yang memenatkan diri dengan berlapar dan berdahaga, membiarkan diri terdorong kepada perlakuan dosa dan noda, kerana itu puasanya rosak binasa dan keletihannya tidaklah berbaloi sebagaimana maksud sabda Junjungan saw : “Ramai yang berpuasa tidak mendapat ganjaran dari puasanya melainkan lapar dan dahaga!” [an-Nasaei]

Meninggalkan maksiat menjadi kewajipan kepada seluruh orang Islam samada mereka sedang berpuasa atau tidak, apatah lagi bagi yang berpuasa ianya lebih dituntut dan diwajibkan. Sabda Rasullah saw : “Puasa itu adalah ‘ perisai’, sekiranya seseorang dari kalangan kamu sedang berpuasa janganlah dia bercakap kotor, melakukan keburukan dan berbuat bodoh. Jika ada orang lain yang mengejinya atau cuba memeranginya maka hendaklah dia katakana kepada orang itu : “Saya sedang berpuasa”. [al-Bukhariy dan Muslim]

v. janganlah membanyakkan tidur pada siang harinya dan makan pada malamnya, bahkan besederhanalah pada keduanya bagi menyelami kejerihan lapar dan dahaga. Dengan demikian sanubarinya terkawal, keinginan nafsunya kurang, hatinya ceria, itulah rahsia dan intipati puasa yang perlu dicapai.

vi. jauhikan diri dari mengikut dorongan nafsu ketika berbuka dengan beraneka jenis makanan yang lazat-lazat. Sebaik-baiknya adat makannya sama sahaja di bulan puasa dan bulan-bulan yang lain. Pengembelingan diri di dalam mengurangkan tuntutan jasmani dan keinginan perasaan memberikan kesan yang positif terhadap kecerahan hati nurani yang amat dituntut terutama pada bulan Ramadhan.

Mereka yang menjadikan keinginan nafsu perut sebagai tunggangan akal mereka ketika berbuka yang menyalahi kebiasaan pada bulan-bulan lain sebenarnya terpedaya dengan pujukan Iblis dan rayuannya yang bertujuan menghilangkan barakah (berkat) ibadah puasa mereka, ni’mat limpahan ketenangan dari Allah swt, kekusyukan diri ketika bermunajat dan berzikir kepadaNya.

Sepatutnya orang yang berpuasa mengurangkan kadar pemakananya sehingga terserlah kesan puasa itu kepada dirinya. Kekenyangan adalah punca kelalaian, kealpaan, keras hati dan malas melakukan ketaatan kepada Allah swt.

Sabdanya : “Takungan jelek yang dipenuhkan oleh manusia adalah kantong perutnya, memadailah baginya beberapa suapan yang dapat meneguhkan tulang belakangnya. Jika dia enggan maka berikanlah sepertiga (bahagian perutnya) untuk makanan, sepertiga kedua untuk minuman dan sepertiga terakhir bagi pernafasannya” [ Ahmad dan at-Tarmiziy].

Terdapat ulama yang mengungkapkan kata-kata berikut : ‘Sekiranya perutmu kenyang angota-anggota lain akan lapar (akan menurut turutan nafsu) tetapi sekiranya perutmu lapar kesemua anggotamu akan kenyang’.

As-Salaf as-Soleh (mereka yang terdahulu) mengurangkan perkara kebiasaan dan dorongan diri serta memperbanyakkan amal ibadat di bulan Ramadhan secara khusus bahkan itulah adat mereka sepanjang masa.

vii. tidak menyibukkan diri dengan urusan duniawi pada bulan Ramadhan ini bahkan mengambil kesempatan yang ada bagi beribadat kepada Allah dan mengingatiNya sebaik mungkin. Justeru itu dia tidak melakukan perkara duniawi melainkan sekadar keperluan hariannya atau kepada mereka yang berada di bawah tangungannya. Demikian yang selayaknya dilakukan pada bulan Ramadhan yang mulia ini sama seperti pada hari Jumaat yang sepatutnya dikhususkan bagi amalan akhiratnya.

viii. mempraktikkan amalan sunnah seperti segera berbuka apabila masuk waktunya, berbuka dengan buah tamar (kurma) dan jika ianya tiada memadailah dengan segelas air serta melambatkan makan sahur.

Nabi saw berbuka dahulu sebelum Baginda mengerjakan solat Maghrib.

Sabdanya : “Ummatku sentiasa berada di dalam keadaan baik (berkat) selama mana mereka mempercepatkan berbuka (apabila masuk waktunya) dan melambatkan makan sahur”. [Ahmad, al-Bukhariy dan Muslim].

ix. menyediakan makanan berbuka kepada orang yang berpuasa sekalipun dengan beberapa biji tamar atau segelas air. Sabda Baginda saw : “Sesiapa yang menyediakan makanan berbuka bagi orang yang berpuasa baginya ganjaran seumpama pahala orang yang berpuasa tanpa mengurangi sedikitpun pahalanya (orang yang berpuasa)”. [al-Baihaqi dan ibnu Khuzaimah].

x. memenuhi malamnya dengan amalan sunat seperti solat Tarawih, witir dan sebagainya.

Adalah dinasihatkan kepada para imam supaya tidak mempercepatkan solat Tarawihnya sepertimana amalan kebiasaan sebahagian besar mereka di masjid dan surau. Perbuatan tersebut menjejaskan mutu ibadah solat Tarawih mereka kerana meninggalkan ‘wajib-wajib’ solat tersebut seperti ; meninggalkan tomakninah semasa ruku’ dan sujud, mencacatkan bacaan al-Fatihah sebagaimana sepatutnya lantaran ingin kecepatan dalam mengejar waktu sehingga meninggalkan makmum di belakang tertinggal rukun-rukun penting dalam solatnya. Amalan Tarawih seperti itu menjadi tidak sempurna dan berkurangan pahalanya.

Kerana itu berwaspadalah terhadap cara demikian dengan kembali mengamalkan ibadah solat seperti waktu-waktu lain, menyempurnakan qiyam, bacaan al-Fatihah, ruku’, sujud, khusuk, hadir hati dan semua peradaban solat dan rukunnya.

Bagi makmum pula disyorkan supaya sentiasa bersama imamnya di dalam mengerjakan solat Tarawih itu sehinggalah selesai samada sebanyak 20 rakaat atau pun 10 rakaat. Sabdanya saw : “Apabila seseorang menunaikan solat bersama imamnya sehinggalah imam itu (selesai dan) beredar, dikirakan untuknya (makmum) pahala qiyam semalaman” [an-Nasaei].

Dipetik dari Portal JAKIM : Mufti Negeri Terengganu

Monday, August 1, 2011

Kelebihan Bulan Ramadhan

  • Daripada Anas (r.a), Katanya: Bersabda Nabi (s.a.w) : Tiada daripada seorang hamba apabila melihat ia sehari bulan Ramadan lantas dia memuji Allah  ( kerana kedatangan bulan rahmat dengan kelebihan dan keistimewaanya) kemudian dibacanya Al-Fatihah tujuh kali, melainkan diafiatkan Allah daripada sakit matanya pada bulan ini.
  • Kelebihan bulan Ramadan dan keagungannya dengan adanya malam Lailatul Qadar yang dirahsiakan, sehingga mendapat keampunan dan pahala serta darjat dan darjah tertinggi bagi orang yang berjaya mendapatkan malam Lailatul Qadar dengan dipenuhi amal ibadah dan bertaqwa kepada Allah, disamping sembahyangnya yang sunat , istiqfar, tasbih dan berzikir sepenuhnya.
  • Berkata Saidina Ali, Nabi (s.a.w) telah bersabda apabila engkau melihat sehari bulan maka bacalah olehmu "AllahuAkbar" 3 kali, kemudian bacalah :
      (Segala kepujian bagi Allah yang telah menjadikan aku dan telah menjadikan engkau, dan telah menentukan bagi engkau pangkat-pangkat (darjah) dan telah menjadikan engkau tanda (kekuasaan) bagi sekalian alam) nescaya bermegah Allah akan Dia dengan malaikat dan firmanNya: Hai malaikat! saksikanlah kamu, bahwa Aku telah merdekakan daripada api neraka, atau dibacakan :
      (Ya Allah, zahirlah Ramadan atas kami dengan keamanan dan keimanan dan dengan keselamatan dan keIslaman, Tuhanku dan Tuhan engkau Allah.)
  • Bersabda Nabi (s.a.w) : Bahawa syurga berlenggang-lenggang ia dan berhias dari setahun ke setahun kerana masuknya bulan Ramadan. Pada awal malam bulan Ramadan bertiup angin di bawah Arasy bergeraklah daun kayu lemah-longlainya di dalam syurga. Terdengarlah desiran daun-daun kayu, hembusan sang bayu syurga yang teramat indahnya.Seni rentak lagunya menawan seluruh perasaan nurani. Maka berhiaslah bidadari sekaliannya lalu berdirilah di atas puncak mercu syurga itu. Lantas bersuaralah bidadari : Adakah orang yang hendak meminang kami kepada Allah, kata bidadari pula: Apakah malam ini namanya? jawab Malek Ridwan (malaikat), Hai bidadari yang cantik manis, inilah malam awal Ramadhan, Lalu Allah berfirman: Hai Ramadan bukalah pintu syurga Bab AlJanan untuk orang-orang yang berpuasa daripada umat Muhammad (s.a.w). Hai Malek Ridwan tutuplah pintu neraka Al-Jahim daripada umat Muhammad (s.a.w), hai Jibrail belenggukan syaitan, lontarkannya ke dalam lautan supaya tidak membinasakan umat Muhammad akan puasanya. Maka berfirman Allah pada tiap-tiap malam Ramadan tiga kali : Adakah orang yang meminta ampun? Akan Aku ampunkan!
  • Pada malam Lailatul Qadar menyuruh Allah Ta'ala akan Jibrail Alaihisalam turun ke bumi, lalu turunlah Jibrail ke dalam perhimpunan malaikat ke bumi bersamanya bendera hijau lalu dipacakkan ke atas Kaabah, baginya 600 sayapnya , setengahnya tiada dibuka keduanya, melainkan pada malam Lailatul Qadar baharulah dibukakan keduanya, hingga sampai dari timur ke barat ( Musyriq Ke Maghrib ). Untuk menyelamatkan umat Muhammad, Lalu memberi salam kepada tiap orang yang berjaga pada malam Lailatul Qadar beribadah kerana mencari keredaan Allah, dan orang-orang yang duduk beribadah, orang yang sembahyang dan berzikir dan berjabat tangan sesama mereka mukmin dan mengucap amin doa orang-orang mukmin hingga terbit fajar subuh....... berkata para malaikat kepada Jibrail , apakah Allah berikan pada hajat orang mukmin dari umat Muhammad (s.a.w)  pada bulan Ramadan ini? Berkata Jibrail bahawasanya Allah menilik kepada  umat Muhammad yang berpuasa dan beribadah padanya dan dimaafkan mereka, diampunkan dosa-dosa mereka, melainkan empat orang yang tiada diampunkan dosanya: yaitu orang yang kekal minum arak, orang yang derhakakan ibubapanya, orang yang memutuskan sillaturrahim dan orang yang tidak bercakap dengan saudaranya lebih dari 3 hari.
  • Apabila pada malam akhir Ramadan dinamakan malam persalinan. Pada malam hari raya Aidilfitri didatangkan Allah malaikat kepada tiap-tiap negeri turunlah mereka ke bumi, berdiri pada permukaan jalan menyeru dengan suara yang kuat, semua mendengarnya kecuali jin dan manusia berkata mereka, hai umat Muhammad keluarlah kamu menghadap tuhan yang amat mulia (sembahyang raya di pagi raya) yang memberi pemberian yang berpanjangan dan mengampun akan dosa-dosa yang besar. Apabila tibalah umat Muhammad ke tempat sembahyang, firman Allah kepada maliakat : Hai malaikatKu, apakah balasan orang yang mengambil upah apabila selesai kerjanya ? Jawab malaikat , hai Tuhan kami, sempurnakanlah upahnya! Firman Allah bahawa Aku saksikan kamu hai malaikatku, telah aku jadikan pahala mereka dari puasa mereka pada bulan Ramadan mereka mendirikan sembahyang, ialah keredaanKu dan keampunanKu kepada mereka! Maka firmannya lagi : Hai segala hambaku, pohonlah kamu kepada ku, maka demi ketinggianku dan kebesaranku, tiada memohon kepadaku hari ini akak sesuatu bagi agamamu dan duniamu, melainkan Aku kurniakan kepadamu! (Al-Hadith).
  • Sabda Nabi (s.a.w) : Diberi kepada umatku lima perkara yang belum pernah diberi kepada umat-umat dahulu sebelumnya :
    • a) Bau mulut orang berpuasa lebih harum daripada kasturi di sisi Allah
    • b) Segala perbelanjaan dan derita lapar selama puasanya adalah syurga balasannya.
    • c) Diampunkan dosa-dosa mereka pada malam Lailatul Qadar.
    • d) Amalan yang dilakukan pada bulan Ramadan digandakan kepada 10 hingga 700 kali ganda, melainkan puasa maka ianya bagiKu, Aku balas kepadanya yang berkuasa menahan syahwatnya, makan minumnnya kerana Aku.
    • e) Dan mereka dikurniakan nikmat kepada mereka keseronokkan ketika berbuka dan ketika menemui tuhan di akhirat.(Al-Hadith)
  • Sabda Nabi (s.a.w) : Menunaikan yang sunat diberi balasan pahala fardhu, dan amal fardhu diberi balasan 70 kali ganda. Bulan puasa adalah bulan sabar (sabar dalam berbuat taat kepadaNya.), dan sabar itu adalah syurga balasannya bulan ini dilebihkan rezeki kepada hambanya orang mukmin, diampunkan baginya dosa-dosa. Barang siapa memberi makan kepada orang berpuasa pahalanya seperti memerdekakan hamba dan diampunkan dosanya, berkata sahabat : Bagaimana kami tak sanggup memberi makan orang yang berpuasa (berbuka puasa) ya Rasullullah - Allah memberi pahala ini kepada orang yang memberi seteguk susu atau sebiji kurma atau segelas air, barang siapa kenyangkan orang berpuasa diampunkan Tuhan dosanya, diminumkan Tuhan dari kolam Hudh sejenis minuman yang tiada dahaga lagi kemudiannya hingga masuk ia ke syurga dan pahalanya seperti pahala orang berpuasa. (Al-Hadith)
  • Puasa menurut segala yang disuruh dan menjauh segala pantang larangannya, diampunkan dosanya, dan bertasbih, bertahlil dibinakan rumah indah dalam syurga.
  • Barang siapa hadir ke dalam majlis zikir pada bulan Ramadan, ditulis tiap langkahnya ibadat setahun, dan pada hari Qiamat bersamaku di bawah Arasy. Siapa tetap berjemaah dalam bulan puasa didirikan kota bercahaya indah, cemerlangnya , dan yang berbakti kepada ibubapanya Allah memandang rahmat kepadanya, dan isteri yang berbuat sesuatu mencari keredaan suaminya, maka pahala yang besar Allah kurniakan kepadanya , seperti Siti Maryam dan siapa yang menyampaikan hajat orang mukmin, Allah menunaikan seribu hajatnya, dan siapa bersedekah kepada fakir miskin (yang ada anak isteri) tiap langkah dikurniakan kepadanya seribu kebajikan, dihapuskan seribu kejahatan dan diangkatkan seribu darjat baginya. (Al-Hadith).
  • Orang yang sembahyang bulan Ramadan tiap sekali sujud, dikurniakan kepadanya 1700 kebajikan, dan dibinakan rumah didalam syurga daripada permata bagi orang yang berpuasa dan beribadat, 75000 malaikat meminta ampun baginya dari pagi hingga tenggelam matahari, dan dibina sebuah mahligai baginya . (Al-Hadith)
  • Pada hari Qiamat, Allah memerintah Malek Ridwan supaya dikeluarkan orang-orang berpuasa daripada kuburnya dengan keadaan lapar dan dahaga, lalu disuruh Malek Ridwan berikan segala keinginan mereka dari segala macam makanan dan minuman syurga. Maka Malek Ridwan memerintah kepada anak-anak membawa talam-talam makanan , minuman dan buah-buahan. Sebagai balasan berlapar di bulan Ramadan. (A-Hadith)
  • Orang mukmin yang tidur dalam bulan puasa kerana puasa Ramadan, dia membalikkan badannya sambil meyebut Allah! maka kata malaikat kepadanya : Rahimakallah (Allah Mencucuri Rahmat kepada kamu.)
    • - Apabila  dia berdiri maka berdoalah hamparannya :  (Wahai Tuhanku, kurniakanlah kepadanya hamparan permaidani  tebal kepadanya di dalam syurga)
    • - Apabila memakai pakaian , berdoalah pakaian (Wahai Tuhanku, kurniakan kepadanya pakaian syurga)
    • - Apabila memakai kasut, berdoalah kasut  (Wahai Tuhanku, tetapkanlah atas titian Siratul Mustaqim!)
    • - Apabila memegang timba berdoalah pula timba : (Wahai Tuhanku kurniakan kepadanya gelas syurga!)
    • - Apabila mengambil air sembahyang , berdoalah air itu : (Wahai Tuhanku sucikannya daripada segala dosa dan kesalahan!)
    • - Apabila berdiri sembahyang , berdoalah rumahnya:  ( Wahai Tuhanku cahayakanlah kuburnya dan luaskanlah , lapangkanlah kuburnya!)
    • Serta menilik Allah kepadanya , maksudnya : HambaKu berdoa dan Aku menerima! (Al-Hadith)
  • Malaikat yang banyak muka bersujud kepada Allah pada hari Qiamat, satu muka sujud , satu muka melihat syurga, satu muka melihat neraka, satu muka melihat Arasy , lalu berkata malaikat itu : Wahai Tuhanku , ampunlah umat Muhammad, kasihanilah mereka! janganlah disiksa orang yang berpuasa Ramadan dari umat Muhammad! (Al-Hadith)
    • Keredaan Allah (bagi orang yang taat)
    • Keampuan Allah (bagi orang yang maksiat)
    • Jaminan Allah (bagi orang yang taat)
    • Kejinakan Allah (bagi orang yang tawakkal)
    • Anugerah Allah (bagi orang yang benar).
      • Ramadan, Ramada, ertinya : membakar - yakni menghapuskan dosa dosa orang yang berpuasa dan beribadat bulan Ramadan.
      • Ramadan ertinya bulan mendapatkan keredhaan Allah dan keampunan bagi hambaNya. Orang yang mendapat keredhaan dan keampunan Allah bererti memberi jaminan (kerana ibadatnya pada bulan mulia dengan penuh taat) mendapat syurga anugerah Allah bagi hambaNya yang benar benar melakukan ibadat kerana Nya pada bulan Ramadan termulia ini dengan ganjaran pahala sehingga seribu kali ganda dan keampunan yang banyak sekali, teristimewa pada malam Lailatul Qadar.
    • "Bahawa di dalam syurga terdapat bilik bilik, dilihat dari luar nampak di dalamnya dan dilihat dari dalam kelihatan di luarnya, berkata sahabat : untuk siapakah ya Rasulullah? Lantas Baginda menjawab : Ialah bagi orang yang baik percakapannya, bagi orang yang memberi makan makanan, bagi orang yang sentiasa berpuasa, bagi orang yang sembahyang di tengah malam sedang manusia banyak tidur." (Al Hadith)
       
    • "Semulia mulia sedeqah ialah sedeqah pada bulan Ramadhan." (Al Hadith)
    • "Puasa itu perisai dan sedeqah itu memadam kesalahan dosa sepertimana air memadamkan api." (Al Hadith)
    • "Siapa memberi makan ( berbuka puasa) kepada orang puasa makan baginya seumpama balasan pahala orang yang berpuasa dengan tidak kurang sedikitpun ." (Al Hadith)
  • Sabda Nabi (s.a.w) : Tiada daripada seorang hamba berpuasa Ramadan, diam tiada berkata yang sia sia dan daripada yang haram dan yang makruh, dan sentiasa menyebut Allah (berzikrullah), menghalalkan yang dihalalkan Allah, mengharamkan akan yang diharamkan Allah, tiada mengerjakan kejahatan, melainkan sehingga berakhir Ramadan, telah diampunkan baginya segala dosanya, dan tiap tasbih, tiap tahlil, dibinakan sebuah rumah yang terindah di dalam syurga daripada permata zamrud, di dalamnya daripada yaqut merah indah, di dalam rangka permata itu (yaqut) terdapat sebuah khemah, di dalamnya terdapat bidadari ( hurul ain isteri syurga). Terhias dengan permata bercahaya indah yang menerangkan bumi seluruhnya.(Al Hadith)
  • Sabda Nabi (s.a.w) : Bahawasanya bagi Allah beberapa kejadianNya, dijadikan mereka supaya menyampaikan segala hajat orang dan supaya orang meminta tolong kepada Nya, pada menyempurnakan segala hajat yang diperlukan, mereka itulah orang yang aman daripada siksa Allah (Riwayat At Tibrani) (Al-Hadith)
  • Sabda Nabi (s.a.w) : Bahawa pintu langit dan pintu syurga dibuka pada awal Ramadan hingga akhir malam Ramadan, tiap orang yang bersembahyang pada malamnya dituliskan baginya tiap satu sujud 1700 kebajikan, dibina rumah baginya di dalam  syurga daripada yaqut merah indah, baginya 70 pintu daripada emas yang bertatah yaqut permata yang merah, orang yang berpuasa pada awal Ramadan diampunkan segala dosanya  hingga ke akhir bulan Ramadan, dibinakan baginya tiap tiap hari sebuah mahligai di dalam syurga, mempunya 1000 pintu daripa emas, dan meminta ampun baginya 70 000 malaikat  dari pagi  hingga tenggelam matahari (Al Hadith)
  • Sabda Nabi (s.a.w) : Kelebihan hari Jumaat pada bulan Ramadan atas segala hari yang lainnya seperti kelebihan Ramadan atas segala bulan (Al Hadith)
  • Barangsiapa mengerjakan ibadat pada bulan Ramadan dengan keimanannya dan ikhlasnya kerana Allah, maka di ampunkan segala dosanya yang telah lalu (Al Hadith)
  • Sabda Nabi (s.a.w) : Tidur orang yang berpuasa itu adalah ibadat, dan nafasnya itu adalah tasbih, doanya itu mustajab, dosanya diampunkan Allah, dan amal ibadatnya dilipatgandakan . (Al Hadith)
  • Apabila berakhir bulan Ramadan, menangis wali-wali Allah kerana terpisahnya bulan yang paling mulia yang digandakan ibadat berlipatkali ganda daripada bulan bulan yang lainnya, bulan Allah mudah menerima ampun taubat hambaNya, bulan yang banyak sekali diturun rahmat ke alam, bulan yang terdapat padanya malam Lailatul Qadar, suatu rahmat dan rahsia yang dikurniakan kepada hamba hamba Nya yang  salihin, yang tidak terdapat pada bulan bulan yang lainnya. Mereka menangis kerana belum tentu akan dapat menemui bulan termulia ini pada tahun tahun hadapan, kiranya dipanjangkan umur.
  • Apabila berakhirlah malam bulan Ramadan, menangislah tujuh petala langit dan tujuh petala bumi, dan segala malaikat, jerana berlalu Ramadan berlalulah kelebihan, sebab musibah bagi umatku, dan duduk segala malaikat bagi musibah, orang bertanya : Ya Rasullullah, apa itu musibah ? Jawab rasullullah (s.a.w), Kerana segala doa padaNya itu mustajab, sedakah makbul, segala kebajikan digandakan dan siksa kubur diangkat, maka apakah musibah yang terlebih besar daripada ini bagi umatku?! (Al-Hadith)
  • Malam Lailatul Qadar adalah malam rahsia, yang turunnya padanya malaikat Jibrail dan beberapa malaikat dengan perintah Allah. Orang yang berjaga dengan malam ibadatnya untuk mendapatkan malam Lailatul Qadar yang terahsia itu yang tidak diketahui oleh manusia, hanya orang-orang solihin yang hampir, orang berusaha mendapatkan malam mulia itu dengan berjaga malam pada sepuloh malam Ramadan yang terakhir maka diampunkan tuhan segala dosanya. Di pahalakannya dengan banyak , dirahmatkannya dengan limpah kurnia. Dan orang-orang solihin yang dikurniakan Allah mendapat malam Lailatul Qadar itu satu keberuntungan kebahagiaan bagi akhirat, mendapat keampunan dan rahmat terbesar, mendapat pimpinan Allah dalam hatinya, mendapat keredaan Allah dalam hidupnya dunia dan akhirat.
  • Malam Aidilfitri, malam raya, disunatkan kepada kita berjaga malam, beribadah, bertakbir "AllahuAkbar" sepanjang malamnya. Akan mendapat keampunan yang banyak, pahala yang besar, rahmat Allah tercurah kepadanya. Siapa yang menghidupkan dua malam raya (AidilFitri & AidilAdha) dengan ibadatnya dan takbirnya , tiada dimatikan hatinya pada hari yang dimatikan segala hati. (Al-Hadith).
Petikan dari buku Fadilat Rejab, Syaaban, Ramadan oleh Budiman Radhi

Persediaan Ramadhan

Cara Menyambut Bulan Ramadhan

Segala pujian kepada Allah yang maha pemurah lagi maha penyayang, salawat dan salam buat Junjungan mulia Sayidina Muhammad dan kepada keluarganya.
Saudara-saudari seislam yang dimuliakan,
Andainya seorang teman yang anda kasihi dan segani, menghubungi anda dan menyatakan hasratnya ingin berkunjung ke rumah anda serta singgah untuk beberapa hari, apakah yang akan anda lakukan sempena kedatangannya dan apakah perasaan anda?
Tentunya anda bergembira, menyediakan persediaan bagi menerima kunjungannya dengan mengemas rumah anda dan mengadakan keperluan yang sepatutnya bagi tetamu tersebut. Bukankah begitu yang selayaknya anda dan teman-teman anda akan lakukan ?
Jika demikian…wahai saudara-saudari yang dikasihi Allah… bagaimana pula yang akan datang menjengok anda bukan sahaja dikasihi oleh diri akan sendiri bahkan ianya dikasihi oleh Pencipta anda Allah swt, RasulNya Muhammad saw dan sekelian orang-orang yang beriman !
Tetamu yang akan berkunjung ini membawa bersamanya sepanjang siang dan malamnya kebaikan dan keberkatan dari Allah swt ! Ia adalah bulan Ramadhan yang mulia, bulan berpuasa dan bertilawah al-Quran, bulan tahajjud dan qiyamullail, bulan kesabaran dan ketaqwaan, bulan kerahmatan, keampunan dan kebebasan dari api neraka.
Terdapat padanya suatu malam yang lebih baik dari seribu bulan, bulan pemasungan syaitan, penutupan pintu-pintu neraka dan pembukaan pintu-pintu syurga. Kita memohon limpahan kurniaanNya.
Bulan gandaan pahala dan berkat untuk segala ketaatan dan kebaikan yang dilakukan.
Oleh kerana itulah sifatnya tetamu mulia ini, amat wajarlah bagi kita - orang yang mengetahui kehebatannya – menyambutnya dengan cara yang terbaik, bersedia untuknya dengan menyiapkan dan membiasakan diri kita beramal padanya, moga-moga kita mendapat faedah dari kunjungannya dan apabila ianya pulang jiwa raga kita telah bersih dan suci dengan limpahan rahmat Allah. { Sesungguhnya telah berjayalah orang yang menyucikan dirinya (surah as-Syams 9)].
Dek kerana itulah ulama terdahulu menghargai tetamu ini… kerana itu diceritakan bahawa : { “Mereka memohon Allah lanjutkan usia mereka supaya dapat bersama bulan Ramadhan sepanjang enam bulan sebelumnya… apabila ianya berakhir mereka menangis sayu di atas pemergiannya dan berdo’a agar Allah menerima amalan mereka bagi bulan Ramadhan sepanjang berapa bulan selepas itu..} sebagaimana yang disebutkan oleh Ibnu Rajab rahimahullah.


Cara Sambutan Ramadhan di pelbagai tempat


Firman Allah swt yang bermaksud : { Jika kamu ikuti (patuh) kepada kebanyakan manusia di muka bumi ini mereka akan menyesatkan kamu dari jalan Allah (surah al-An’am 116) }. FirmanNya yang bermaksud : { Dan sebahagian besar manusia tidak akan beriman walaupun kamu sangat menginginkannya (surah Yusuf 103) }
Saudara-saudari yang dikasihi ;
Sekiranya anda memerhatikan keadaan dunia Islam anda akan merasa kehairanan dan ta’jub dengan keadaan mereka di dalam menyambut bulan Ramadhan yang mulia ini.
· Sebahagiannya menyambutnya dengan pelbagai kegiatan yang menyalahi hukum Allah swt…
· Sebahagiannya menyambutnya dengan berpesta, perhimpunan umum, nyanyian, tarian dan muzik…
· Sebahagiannya menyediakan filem-filem yang menyeronokkan sepanjang malam di bulan Ramadhan… yang dipenuhi dengan adengan yang memenuhi tuntutan nafsu berahi…
· Sebahagiannya menyambutnya dengan menjemput dan mengadakan pertemuan dengan penyanyi-penyanyi dan pelakon-pelakon filem seraya bertanya : “Apakah nyayian dan adengan lakonan yang bakal dipersembahkan ?”…
· Sebahagiannya menyiapkan agenda-agenda peraduan, pertandingan, uji bakat bulan Ramadhan yang menjauhkan diri dari ketaatan kepada Allah…dan lain-lain lagi.
Bukanlah begitu sepatutnya diraikan bulan Ramadhan yang berkat…dengan maksiat, kerja-kerja haram, memerangi kehormatan bulan mulia dan permusuhan dengan Allah yang maha kuasa.
Benarlah sabda Baginda saw yang bermaksud : “Ramai yang berpuasa habuannya hanyalah lapar dan dahaga” (riwayat Ahmad)
· Sebahagiannya menyambutnya dengan mengunjungi pasar-pasar, berasak-asak dengan orangramai bagi membeli pelbagai jenis makanan dan minuman ; seolah-olah bulan tersebut adalah bulan makan-minum, tidur di waktu siang, berjaga di malamnya dengan aneka hiburan dan pelakuan haram sambil mengucapkan kata-kata : “Selamat datang wahai Ramadhan…bulan keberkatan dan pahala..” menggantikan taubat, beramal soleh dan bersyukur kepada Allah dengan hati, lidah dan anggota.
Kepada mereka kita bacakan ungkapan penyair ;
“Wahai orang yang berkhidmat kepada dirinya alangkah deritanya dirimu,
Apakah kamu menuntut keuntungan pada pekerjaan yang merugikan,
Siapkanlah dirimu sempurnakanlah kelebihannya,
Kamu adalah insane kerana jiwa bukan kerana tubuh semata-mata.”


Pedoman Menyambut Ramdhan yang Dianjurkan

Cara yang dianjurkan oleh Islam adalah sebagaimana berikut ; secara ringkasnya :
i- Berdoa’ … semoga Allah melanjutkan usia anda dapat menyambut bulan Ramadhan… sebagaimana yang diamalkan oleh ulama silam, di samping memohon pertolonganNya dapat berpuasa, qiamullail dan beramal soleh padanya,

ii- Membersih diri dan bersuci… iaitu membersihkan diri dan jiwa dengan taubat nasuha dari segala dosa dan maksiat. Taubat ini adalah wajib pada setiap waktu.

Bagi mereka yang masih melakukan dosa kita tanyakan :
- “Jika anda masih dalam kekotoran maksiat, patutkah anda menerima hadiah pemberian Allah ini?”,
- “Bagaimana anda berpuasa lantas berbuka dengan perkara yang diharamkan?”,
- “Wahai mereka yang meninggalkan solat dengan sengaja ! Bagaimanakah puasamu akan diterima Allah sedangkan anda masih lagi meninggalkan rukun Islam kedua yang denganya anda terkeluar dari agama Allah?”,
- “Wahai mereka yang masih memakan hasil riba, rasuah dan haram ! Bagaimanakah kamu sanggup berpuasa, tidak makan yang diharuskan oleh Syara’ tetapi kamu berbuka dengan rezeki yang haram?”,
- “Wahai anak-anak yang menderhakai ibu-bapanya ! Bagaimanakah kamu rasa tenang untuk berpuasa sedangkan Jibri mendo’akan kemusnahanmu lantaran kederhakaanmu itu dan diaminkan oleh Junjungan saw?”,
- “Wahai saudaraku yang dikasihi! Bagaimana kamu harapkan puasamu dimakbulkan sedangkan kamu masih berada di landasan yang tidak diredhaiNya?”.
- “Tidakkah pernah dinyatakan kepadamu sabda Baginda saw : “Sesiapa yang tidak meninggalkan perkataan dusta dan terus mengerjakannya, Allah tidak akan menghiraukannya - tidak memberikan pahala kepadanya - (walaupun) dia tidak makan dan minum (berpuasa)” (riwayat al-Bukhariy).
Oleh kerana itu bertaubatlah kepada Allah swt dengan bersungguh-sungguh, pintu taubat sentiasa terbuka, taubat bukanlah sekadar meninggalkan perbuatan dosa.. bahkan ianya memerlukan pengembalian seluruh jiwa raga kepada Allah swt.

iii- Penyediaan diri bagi menyambut kedatangan Ramadhan… dengan menunaikan ‘ibadat puasa sunat pada bulan Sya’aban serta amalan kebaikan lain… ianya bulan diangkatkan segala amalan manusia kepada Allah swt … sebagaimana yang diriwayakan oleh Usamah bin Zaid : “Nabi saw berpuasa penuh pada bulan Sya’aban… atau berpuasa sebahagian besar pada bulan tersebut…”,


iv- Antara perkara terpenting ; mempelajari hukum-hakam puasa, mengetahui sunnah Nabi saw serta aturcara pusanya sebelum menghampiri bulan tersebut, mempelajari syarat-syarat puasa, sah batalnya , hukum berpuasa pada hari terakhir bulan Sya’aban (hari syak), perkara yang harus, wajib atau haram bagi seseorang yang berpuasa, apakah adab-adab dan sunat-sunat berpuasa, bagaimana ingin menunaikan I’badah qiyam (solat tarawih dan seumpamanya), hukum-hakam bagi orang uzur, sakit, musafir dan sebagainya pada bulan puasa, berkenaan bayaran zakat fitrah… dan seumpamanya. Begitu juga memahami cara ‘ibadah Nabi saw di bulan yang mulia ini terhadap dirinya, keluarga dan umatnya… puasanya… qiyamnya… kemurahannya…penjagaan pancainderanya… tadarus al-Quran… dan seterusnya.
v- Antara agenda seterusnya menyediakan jadual ibadah untuk bulan yang mulia itu dengan mengadakan program-program yang memenuhi waktu anda yang amat berharga itu bagi diri anda, keluarga, rakan-rakan … dengan membaca al-Quran, tadarus, hafazan… qiyamullail, menyediakan hidangan berbuka puasa untuk mereka, umrah, I’tikaf, bersedaqah, berzikir, membersihkan jiwa dan raga, ketaatan kepada Allah… dan seterusnya.

Saudara-saudariku yang dihormati :
Inilah secebis coretan antara perkara yang amat perlu diamalkan sempena kedatangan bulan Ramadhan yang dipenuhi dengan keberkatan ini… semoga Allah menyelamatkan kita dengan dijuruskan diri-diri kita kepada petunjuk yang benar dan jalan yang diredhaiNya, serta dijauhkan kita dari kesalahan yang menjurus kepada kebinasaan dan kesesatan.
Sebagai penutup bicara marilah sama-sama kita menyelami kata-kata ini :
Wahai mereka yang belum cukup baginya dosa di bulan Rajab,
Sehingga menderhakai Tuhannya di bulan Sya’aban,
Telah datang kepadamu bulan puasa selepas keduanya,
Janganlah jadinya juga bulan kederhakaan,
Bacalah al-Quran dan bertasbihlah padanya, dengan sunguh,
Kerana ia bulan tasbih dan bulan Quran,
Ramai mana yang kamu kenal orang terdahulu yang telah berpuasa,
Antara keluargamu, jiran tetangga dan sahabat handai,
Mereka telah meninggal dunia sedangkan kamu masih hidup,
Alangkah hampirnya masa mereka yang telah pergi dengan yang masih tinggal.

Ya Allah, sampaikan kami ke bulan Ramdhan… bantulah kami di dalam mengerjakan puasa, qiyam dan amalan soleh padanya dan di bulan-bulan yang lain, teguhkanlah pendirian kami di dalam ketaatan kepadaMu sehingga kami menemuiMu. Engkalah yang maha mendengar alagi maha menyahut do’a-do’a kami.

Dipetik dari Portal JAKIM : Mufti Negeri Terengganu
Related Posts with Thumbnails