Seorang perempuan yang telah selesai melahirkan anak mempunyai kewajipan tertentu iaitu mandi kerana beranak (wiladah) dan mandi kerana nifas.
Para ulama telah ijmak mengatakan bahawa wajib mandi dengan sebab keluar darah nifas. Termasuk di dalam perkara yang mewajibkan mandi ialah wiladah iaitu mandi kerana beranak, sekalipun melahirkan tanpa basah (darah). Begitu juga bagi perempuan yang mengalami keguguran anak, tidak terkecuali daripada kewajipan mandi, sama ada keguguran itu hanya berupa darah beku (‘alaqah) ataupun hanya berbentuk seketul daging (mudhghah).
Bagi sebilangan perempuan yang terpaksa menjalani pembedahan perut untuk mengeluarkan anak, maka dikategorikan hal yang sedemikian itu sebagai wiladah maka wajib ke atas perempuan tersebut melakukan mandi.
Perlu diingat, mandi kerana beranak dan mandi kerana nifas mempunyai perbezaan. Bagi mengelak kekeliruan, maka darah nifas ialah darah yang keluar dari rahim perempuan selepas melahirkan anak sekalipun hanya setitik. Bermulanya darah nifas itu keluar sebelum berlalu lima belas hari setelah seseorang perempuan melahirkan anak. Andaikata darah itu tidak keluar melainkan setelah berlalu masa selama lima belas hari atau lebih, maka darah yang keluar itu tidak dikatakan sebagai nifas tetapi ia merupakan darah haidh. Maka dalam hal ini perempuan tersebut diwajibkan mandi kerana nifas.
Manakala mandi kerana wiladah ialah apabila seorang perempuan itu melahirkan anak atau mengalami keguguran anak sekalipun hanya berupa darah beku (‘alaqah) atau hanya berbentuk seketul daging (mudhghah). Maka wajib bagi perempuan itu mandi kerana beranak (wiladah) setelah berlakunya kelahiran atau keguguran sebagaimana disebutkan.
Maka apabila seorang perempuan telah melahirkan anak, dia wajib mandi kerana beranak (wiladah) dan wajib juga ke atasnya mandi nifas setelah berhenti darahnya atau habis tempoh masa yang sederhana iaitu empat puluh hari empat puluh malam atau masa paling maksima selama enam puloh hari enam puloh malam.
Sayugia diperingatkan bahawa adalah wajib bagi seorang perempuan itu mengetahui hukum-hukum berkaitan dengan mandi wiladah dan mandi kerana nifas, dan wajarlah bagi suami yang mengetahuinya mengajarkan hukum-hukum tersebut kepada isteri masing-masing
Mandi kerana wiladah dan nifas adalah dua perkara yang berbeza.
1) Mandi wiladah ialah mandi selepas melahirkan anak samaada keluar darah atau pun tidak.
2) Mandi nifas adalah mandi wajib setelah darah nifas kering (habis) tempohnya paling sedikit ialah satu lahzah (setitik) dan paling maksima ialah 60 hari.
Kedua-duanya adalah antara sebab-sebab yang mewajibkan seseorang itu mandi wajib iaitu mengangkat hadas besar.
Hukum bagi seseorang wanita itu tidak mandi wiladah adalah berdosa sekiranya ia mengetahui dan tidak berdosa jika sebaliknya.
Niat mandi wiladah : " Sahaja aku mandi wajib wiladah kerana Allah Taala".
Kesimpulannya wanita yang melahirkan ada 3 keadaan:
1) Jika ia melahirkan tanpa diiringi nifas, maka wajib dia mandi wiladah semata-mata, dan wajib ia menunaikan solat selepas itu, walaupun masih dalam pantang.
2) Jika ia melahirkan dengan diiringi nifas serta merta, maka wajib baginya mandi nifas semata-mata setelah kering darah nifas dan wajiblah ia mendirikan solat selepas itu.
3) Jika ia melahirkan, pada mulanya tanpa diiringi nifas, maka wajib ia mandi wiladah dan mendirikan solat. Kemudian jika ia didatangi pula dengan nifas, maka dia hendaklah berhenti solat dan wajib ia mandi nifas apabila kering darah nifas. kemudian wajiblah ia solat.
Wallahu A'lam.
Dipetik dari : http://halaqah.net/v10/index.php?topic=6162.0
1 comment:
artikel anda mengelirukan. anda copy paste dua pendapat yang bercanggah. fakta pada perenggan ke-6 (maka) dan perenggan ke 7 (sayugia) adalah tidak tepat. jawapan yg tepat adalah pada perenggan ke 11 (kesimpulan). keaadaan yang biasa berlaku adalah point no.2. so wajib mandi sekali saja. mandi nifas.
Post a Comment