Wednesday, September 8, 2010

Ajar anak salam tetamu

Kanak-kanak adalah insan paling gembira menjelang Aidilfitri. Di samping pakaian baru, mereka teruja menerima duit raya daripada orang yang lebih tua.

Ada juga kanak-kanak beraya bukannya kerana ingin berziarah sebaliknya mengumpul duit raya semata-mata.

Dalam kegembiraan mengumpul duit raya ini, ada kanak-kanak tidak dapat mengawal rasa gembira sehinggakan boleh menimbulkan rasa kurang senang kepada tuan rumah.

Ada pula yang menunjukkan perangai kurang manis seperti menumpahkan biskut raya di permaidani, mamasuki bilik tetamu, menyepahkan barang dan memecahkannya.

Semua tindakan ini tentunya diluar kawalan apabila ibu bapa membawa anak bersama. Justeru itu, apakah cara paling berkesan mendidik anak supaya mereka manunjukkan tingkah laku yang baik ketika beraya?

Ibu bapa berperanan penting mendidik anak mengenai adab ketika berziarah. Tujuan berziarah adalah untuk bermesra sesama jiran atau saudara-mara sambil bertanya khabar.

Juteru, pesan kepada anak ketika di rumah lagi mengenai apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan. Jangan pula tidak makan, tidak minum dan berbual, semata-mata menanti sampul duit raya. Ini tentunya bertentangan dengan semangat berziarah iaitu mengeratkan perhubungan.

Ada pula anak ingin mengumpul duit raya sanggup mengunjungi rumah sehingga dua tiga kali. Tuan rumah selalunya tidak menyedari kanak-kanak itu pernah singgah lantas memberikan duit raya sekali lagi.

Jangan pula mengambil kesempatan kebaikan tuan rumah untuk membuat duit raya. Berilah peluang kepada orang lain pula untuk menerima duit raya.

Dalam hal ini ibu bapa perlu menunjukkan tingkah laku yang baik sebelum menjadi ikutan anak-anak. Berikut antara panduan yang boleh dijadikan rujukan ibu bapa dan anak ketika berhari raya :

Panduan untuk ibu bapa :

1.  Duit raya sedekah

Duit raya yang dihulur mungkin suatu 'paksaan' bersedekah. Sebenarnya syarat bersedekah ialah mesti diberi dengan ikhlas sekadar termampu. Ada ibu bapa yang memberi duit raya kerana orang lain memberikan duit raya kepada anak mereka.

Jika tidak dibalas takut berkecil hati, lantas memberi kerana terpaksa atau menutup malu. Pemberian sedekah begini tentu kurang dari segi keikhlasannya.

Ada juga yang berniat untuk menunjuk-nunjuk ketika memberi duit raya kepada kanak-kanak. Niat perlu diperbetulkan. Seeloknya duit dimasukkan di dalam sampul agar jumlah yang diberi tidak dapat dilihat orang lain.

2.  Kawal suara ketika berbual

Keseronokkan berbual terutama bertemu rakan juga ada kalanya membuatkan kita tidak sedar mengeluarkan suara yang kuat. Kadang-kadang, ia boleh mengganggu orang lain. Lebih parah, andai perbualan itu berkisar kepada umpatan atau perkara yang boleh menyakitkan hati tuan rumah atau orang lain.

Keseronokkan berbual mengenai perkembangan politik tanah air dan ada kalanya agak sensitif apabila terdapat orang politik pihak lawan yang hadir ketika itu.

Sebaliknya, sebagai tetamu, kita seharusnya mengawal suara dan berbual pada perkara yang dirasakan boleh dikongsi bersama tanpa menimbulkan sensitiviti.

3.  Memelihara pandangan

Sebagai tetamu, sebaiknya elakkan memandang ke sana ke sini. Sekali sekala itu wajar. Cuma, pandanglah perkara perlu sahaja seperti memandang wajah tetamu yang datang dengan pandangan yang ikhlas bersama senyuman.

Memandang tetamu yang lain berkali-kali sambil berbisik dengan rakan sebelah juga perlu dielakkan. Ini mungkin menimbulkan rasa tidak selesa pada orang yang berkenaan. Lebih teruk jika membabitkan umpatan kepada orang lain.

4.  Hadkan masa

Kadang-kadang keseronokan bertemu kawan lama membuatkan kita tidak sedar sudah lama berada di sana. Kunjungan yang sepatutnya berlangsung dalam 20 hingga 30 minit akhirnya sehingga 3 jam. Rasanya tempoh itu terlalu lama.

Ini mungkin menimbulkan rasa tidak senang atau tidak selesa kepada tuan rumah. Lebih malang andai ruangan rumah atau kerusi tetamu yang disediakan begitu terhad.

Kehadiran kita yang begitu lama dalam majlis itu menghalang orang lain duduk. Tuan rumah mungkin merasa tidak selesa apabila terpaksa berulang kali melayan kita dengan perbualan atau layanan yang sewajarnya diberikan kepada tetamu baru.

5.  Bilangan kehadiran yang sederhana

Membawa ahli keluarga dan rakan ke satu majlis rumah terbuka memang seronok. Namun, kedatangan rombongan yang ramai mungkin akan menjadi satu kesulitan kepada tuan rumah apatah lagi kehadiran kita di majlis itu tidak diberitahu lebih awal.

Manalah tahu jumlah makanan disediakan ala kadar sahaja. Hal sekecil ini wajar diambil perhatian untuk mengelak masalah kepada tuan rumah.

Siapa tahu, dengan kehadiran yang ramai, tuan rumah boleh bergaduh suami isteri disebabkan suasana kelam kabut.

6.  Layan kanak-kanak

Bagi ibu bapa, luangkan sedikit masa untuk kanak-kanak yang bertandang ke rumah. Tidak perlu menunggu 'rumah terbuka' baru hendak melayan mereka.

Pamerkan kemesraan dan sifat kasih sayang kepada anak-anak yang datang. Jika anda melayan orang lain dengan baik, pastinya anak anda juga akan dilayan dengan baik oleh orang lain.

Panduan untuk anak :

1.  Hormat tuan rumah

Apabila tiba dirumah yang dikunjungi, elakkan dari terus ke meja hidangan. Sebaiknya, cari tuan rumah terlebih dahulu atau tidak ada, mungkin mereka sibuk di dapur atau melayan tetamu.

Ajar anak untuk bersalaman dengan tetamu berdekatan ketika itu. Kemudian duduk dengan sopan. Sementara menunggu tuan rumah keluar, ambil kesempatan berbual-bual mesra dengan tetamu yang ada.

2.  Jaga adab ketika makan

Menunjukkan budi bahasa yang baik ketika makan sangat penting.  Elakkan daripada berebut. Jika perlu, beratur mengikut giliran. Ambil makanan ketika dipelawa tuan rumah.

Mengambil makanan dengan kadar sederhana juga menunjukkan adap yang baik. Mengelak daripada mengambil makanan berlebihan sehingga kelihatan berlonggok di pinggan satu cara yang amat baik. Habiskan makanan diambil dan elakkan pembaziran.

Untuk ibu bapa, pastikan mereka menyuapkan anak makan dan minum bagi mengelak tertumpah. Jangan biarkan anak mengambil sendiri makanan dikhuatiri peralatan digunakan pecah. Ketika inilah ibu bapa boleh mendidik anak-anak supaya bersopan ketika makan.

3.  Berdisiplin dan menjaga adap ketika beraya

Kehadiran anak bersama ibu bapa memang sukar dikawal, sehingga ada yang berlari-lari keluar masuk ke rumah, masuk ke bawah meja, naik ke atas meja makan, masuk kedalam bilik tuan rumah yang kebetulan mungkin tidak berkunci, masuk ke dapur, menangis atau tertumpah air dilantai dan pelbagai lagi kerenah semulajadi mereka.

Di sinilah peranan ibu bapa untuk mengajar anak dengan sifat yang baik. Biasanya anak kecil akan cepat bosan jika terlalu lama beraya, justeru jangan terlalu lama beraya untuk kenalan biasa melainkan saudara terdekat atau kenalan rapat. Ini memastikan anda boleh menggunakan ruang rumahnya seperti menidurkan dan memandikan anak tanpa masalah.

4.  Jangan mata duitan

Kanak-kanak juga perlu diingatkan jangan hanya beraya di rumah orang kaya sahaja. Tujuan asal berziarah pada hari raya adalah untuk merapatkan hubungan silaturahim sesama Islam.

Oleh itu, jangan dipinggirkan mereka yang miskin dan kurang berkemampuan untuk memberi duit raya. Didik anak agar tidak terlalu menjadi mata duitan dengan membeza-bezakan pemberian duit raya.

Selepas balik dari beraya, sepatutnya anda mengajar anak supaya bersyukur dengan pemberian itu. Katakan kepada mereka, walau macam mana miskin dan daif sekalipun tuan rumah, mereka tetap gembira menerima kunjungan kanak-kanak pada hari raya.


* sumber dipetik dari Harian Metro 8 September 2010.

No comments:

Related Posts with Thumbnails