Friday, October 1, 2010

Aduhai malam pertama...

Ingat lagi pasal kisah yang saya kongsikan dulu? Kali nie dari buku "Asam Garam Gula & Kopi dari penulis yang sama Abd. Jalil Ali.

:

:

:

:

Mujur saya lelaki! Kalau saya perempuan dan akan berkahwin tidak lama lagi, tentu ngeri mendengar kisah orang tua dulu-dulu, tentang malam pertama atau malam pengantin.

Menurut yang empunya cerita, itu adalah malam yang mendebarkan dan malam ujian. Kononnya, dulu-dulu mana-mana pengantin baru (isteri) yang gagal ujian, akan menanggung malu sepanjang hidup. Malah, ada suami yang tergamak melafaz talak tiga sekaligus di malam istimewa itu, semata-mata kerana isteri yang baru beberapa jam dinikahi gagal dalam ujian tersebut.

Alkisah, sebelum pasangan raja sehari itu memasuki bilik tidur, mak andam atau ibu pangantin perempuan akan memberi sehelai kain putih, sebagai alas tempat tidur.

Pagi esoknya sebelum matahari terbit, kain putih itu akan dikeluarkan dari bilik pengantin dan para juri membuat keputusan : jika ada tompok-tompok darah pada kain putih itu, isteri itu dianggap lulus. Sebaliknya, jika kain putih itu bersih dan suci seperti asal, tanpa setitik darah, ertinya si isteri tidak lulus ujian. Jika kain putih masih suci, itu ertinya gadis tersebut sudah tidak suci sebelum dinikahi.

Titik-titik darah di atas kain putih adalah tanda gadis masih perawan ketika disentuh pertama kali. Kelopak yang mekar telah rasmi terkuak dan titisan merah itu adalah bukti kegadisan tulen.

Fuhh... ngerinya!!

Saya percaya malam pertama adalah saat yang mendebarkan. Tidak kira zaman dulu-dulu yang serba kolot, atau era terkini yang serba canggih, malam pengantin memang penuh suspen. Bermula dengan pertama kali bertentang mata, kemudian berkenalan, menjalin mesra, menyemai kasih, kemudian memeterai cinta menerusi pertunangan dan akhirnya diijab kabul sebagai suami isteri.

Setelah melalui proses berliku, tentulah malam pengantin yang menjadi kemuncak perjalanan yang panjang itu, dinanti-nantikan dengan nafas dan perasaan dag-dig-dug yang begitu kencang.

Ada bakal suami yang terpaksa mengulang lafaz nikah lebih sepuluh kali, kerana jurunikah mahu kata-kata itu dilafazkan senafas, tidak boleh putus-putus.

"Aku terima nikahnya denga Mek binti Mat dengan mas kahwinnya dua puluh dua ringgit setengah tunai."

Jika nama perempuan itu pendek dan mudah disebut, pengantin lelaki boleh menyebutnya senafas. Tetapi bayangkan jika nama bakal isteri itu panjang berjela - Syarifah Mardzyyiahtul Ummayrah Puteri Binti Syed Fakaruddin Jalal Fansuri Al-Kudus, tentu anak teruna itu tidak dapat melafazkan dengan satu nafas.

Sebab itu ada kes dimana pengantin lelaki yang berpeluh dan separuh pengsan, terpaksa dimandikan dan ditukarkan persalinan baru, kerana masih gagal melafazkan nikah senafas walaupun telah mencuba sebanyak 17 kali.

Akhirnya teruna malang itu berjaya juga pada percubaan kali ke-21. Setelah separuh mati berjuang dihadapan jurunikah, bayangkan betapa berdebarnya menatap sekujur tubuh isteri dimalam pertama!

Ada yang bercinta sakan, kemudian tidak sabar-sabar bertunang, tetapi terpaksa menangguhkan perkahwinan kerana salah seorang terpaksa ke luar negara untuk setahun dua. Kutunggu bertahun lamanya, kupendam rindu, kusimpan berahi. Dan kini pada kedinginan malam hari, dikamar sepi dengan haruman dan serba syahdu ini, kita hanya berdua..

Maaf, saya tidak sanggup meneruskan adegan ini, bimbang nanti ia dianggap sebagai bacaan untuk orang dewasa sahaja. Tetapi saya yakin pembaca dapat membayangkan apa yang terjadi selepas dot.. dot.. dot itu.

Demikian suspensnya malam pertama. Tidak kira mempelai itu dara sunti dengan teruna, atau janda berhias dengan bujang terlajak, hatta duda tua dengan janda beranak lima, malam yang satu itu tetap istimewa. Tetapi saya tidak percaya malam pertama adalah malam ujian. Kisah dulu tentang kain putih itu, jika benar pun, sudah tidak releven.

Saya mungkin dianggap melanggar adat. Tetapi pada hemat saya, ujian seperti itu jika masih diteruskan, tidak lebih dari usaha untuk menyemarakkan ego lelaki. Malah, ia sebenarnya satu penderaan terhadap kaum Hawa. Hinakah seorang isteri yang gagal menitiskan darah di malam pengantin? Apakah soal dara ini menjadi prasyarat untuk menjadi isteri?

Kalau di era siber ini masih ada kain putih diberikan pada malam pengantin, saya percaya sebahagian besar kain putih itu masih tetap putih disebelah paginya. Jangan salah sangka, saya tidak menuduh gadis zaman ini sudah hilang daranya sebelum kahwin atau sudah tidak suci lagi. Tetapi, kegadisan ini tidak boleh diukur dengan titisan darah di malam pertama itu. Kesucian seorang perempuan tidak boleh diukur hanya dengan secebis selaput dara.

Dari segi biologi, selaput dara adalah satu lapisan yang amat tipis. Kata orang, senipis kulit bawang. Sudahlah nipis, sensitif pula. Pantang tersentuh sedikit, selaput tipis ini akan koyak dan pecah. Malah, pada sesetengah kes, tanpa disentuh pun ia boleh hilang.

Memang, salah satu yang memungkinkan selaput ini pecah ialah apabila disentuh semasa hubungan seks. Tetapi, selain hubungan seni ini, ada banyak faktor yang memungkinkan selaput itu robek. Persekitaran dan tuntutan hidup masa kini memudahkan apa yang disebut 'dara' itu rosak.

Gadis dulu-dulu melalui cara dan gaya hidup serta persekitaran yang berbeza. Anak-anak dara dulu lebih banyak memerap di rumah. Mereka tidak aktif, kurang bergerak dan tidak melakukan kerja berat. Jika duduk pun bersimpuh, jika melangkah semuanya lembut dan tertib. Mereka biasanya berkahwin pada usia yang masih terlalu muda , sesetengahnya ketika 12 tahun di mana mereka dapat mengekalkan selaput tipis itu. Zaman itu mungkin boleh diterima kain putih di malam pengantin.

Tetapi, sekarang sudah berbeza. Wanita kita sudah setaraf dengan lelaki. Kaum Hawa diberi peluang yang sama. Mereka boleh menduduki jawatan tertinggi. Kerja-kerja dan aktiviti-aktiviti lasak yang dulu dilakukan oleh lelaki, kini dilakukan juga oleh wanita. Malah bola sepak yang dianggap hanya untuk lelaki, kini sudah menjadi sukan wanita juga. Bayangkan wanita bermain bola sepak! Usahkan setipis kulit bawang, setebal kulit lembu pun boleh robek.

Tidak sahaja bola sepak, kegiatan sukan-sukan lain seperti badminton, hoki, lumba basikal, lompat pagar, berlari dan sebagainya, semuanya boleh menyumbang kepada kehilangan selaput dara itu.

Malah, gadis yang tidak bersukan pun tidak terkecuali dari kepupusan selaput tipis itu. Melompat atau terkinja-kinja di dewan tari, melonjak-lonjak di disko juga boleh memberi kesan kepada selaput tipis itu.

Berebut-rebut mengejar bas atau LRT, tergesa-gesa untuk mengejar perakam waktu di pejabat atau kerap bergegas dan berasak untuk berebut potongan harga semasa 'sale' juga boleh memberi kesan.

Malah, jika anda tinggal di tingkat 17 Flat Bandaraya Jalan Pekeliling dan lif rosak sebulan dua kali, anda pun boleh hilang dara kerana menapak beratus anak tangga. Itu belum dikira jika kerjaya yang dipilih ialah yang lasak seperti askar, bomba, jurutera dan ... (maaf cakap) wartawan juga!!.

Pendek kata, tuntutan hidup yang memerlukan semua cergas dan pantas, juga aktiviti-aktiviti lasak yang terpaksa dilalui sejak diperingkat persekolahan lagi, sukar untuk gadis-gadis kita untuk mengekalkan selaput tipis itu.

Jadi, para Majnun yang mendapati Lela tidak berdarah di malam pengantin, jangan berwalang durja. Jangan menghentak-hentak kepala di dinding. Mereka tetap gadis suci, meskipun kain putih itu tidak berdarah dimalam pengantin. Kasihi dan cintailah mereka sepenuh hati, sebagai isteri.

Tetapi, ada ketikanya ujian darah malam pertama menimbulkan satu kejutan, seperti yang terjadi kepada teman saya, seorang ahli perniagaan yang kerap berulang-alik ke Medan, Indonesia.

Usahawan itu sudah beristeri dan beranak lima. Mungkin terkena ilmu, atau sengaja mencari pasal, dia jatuh cinta dengan seorang wanita dari negara jiran itu, seorang janda manis beranak dua.

Pinangannya diterima dan senyap-senyap usahawan ini mengahwini janda muda itu. Majlis dibuat penuh adat dan besar-besaran dirumah keluarga wanita itu. Adat kain putih malam pertama masih diamalkan dikampung tersebut, bukan untuk ujian darah tapi sekadar amalan biasa menandakan perasmian malam pengantin.

Memang mendebarkan dan sekaligus memeranjatkan. Meski sudah jadi janda beranak dua, kain putih itu merah berlumuran darah. Malangnya bukan darah dari selaput dara, tetapi kerana dimalam pengantin itu, mempelai wanita didatangi haid.

"Malam pengantin yang mengecewakan," cerita teman saya sambil tersenyum mengingati kisah lebih tiga tahun itu. Menurutnya kisah malam pengantin itu tidak berakhir, sebaliknya terus bergelora sehingga seminggu kemudian apabila akhirnya dia berjaya menyentuh isteri keduanya itu. Aduhai!!!

:

:

:

arhk!!! huru hara dibuatnya.. tepuk dada tanya selera.. yang pasti kesucian seseorang gadis itu terletak pada bagaimana ia memelihara mahkotanya sehingga diberi kepada yang berhak (suami yang sah lah.. :p)

1 comment:

Anonymous said...

Top Sites. [url=http://toparticlesbase.info/ArtsEntertainment/celebrity-stolen-movies.html]toparticlesbase.info[/url]

Related Posts with Thumbnails